Friday, June 30, 2023

Takpa, Saya Okay

“Takpa, saya okay.”

Inilah pernyataan paling tak okey dari seorang isteri. Maka, kita sebagai suami jangan anggap itu okay.

Ia tak pernah okay ya.

Berapa ramai para suami pandang ringan kata-kata itu. Kita rasa, hari ini terluka kecewa dan sedih, esok semua itu hilang begitu sahaja.

Nak pula ditambah dengan jawapan dari isteri yang kata dia okay. Makinlah segala salah terus luput dari ingatan.

Para suami yang Tok Abah hormati,

Pada saat dia kata dia okay, masa itulah kita kena semak perkara apa yang kita mungkin kecilkan hatinya. Apa yang dia tak puas hati atau marahkan kita.

Jika benar dan yakin kamu rasa tiada, buat sesuatu untuk memenangi hatinya. Buat perkara sweet yang buat dia rasa dihargai, disayangi dan diberi perhatian.

Contohnya masakkan untuk isteri ke, bawa dia bersiar-siar atau berikan dia sekuntum bunga.

Sesudah kamu buat semua itu, kamu pasti terkejut. Akan keluar pengakuan seperti:

“Sebenarnya saya ni ada sentap dengan abang. Abang ingat tak, abang buat hal semalam…”

Di situlah dia cerita segala-galanya yang terbuku.

Bila dia dah cerita tu, barulah patut kamu rasa lega. Sebab dia tak memendam lagi. Segala isi kekesalan sudah keluar dari luahannya tadi.

Ingat, jangan biar isteri kita memendam lebih dari 3 hari. Jika tidak, ia akan terkumpul bukan setakat sebulan dua je bahkan boleh sepanjang hidupnya.

Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,
‘Happy wife, happy life’.

Tuesday, June 20, 2023

Sedari Sebelum Terlambat

Berulangkali dia disakiti, dia masih boleh menahan dan bersabar.
Namun sampai sahaja tempatnya diganti, maka dia pilih berhenti.

Itulah pendirian seorang isteri.

Saat kamu ada orang lain, layanan isteri sudah jadi tak istimewa.

Mungkin saat itu dia belum tahu, tetapi nalurinya kuat.

Dia takkan semesra dahulu.
Dia takkan semanja dahulu.
Dia takkan sebaik dahulu.
Dia takkan beri perhatian macam dahulu.

Kadang, dia pun tak sedar layanannya itu berubah.

Tetapi lambat laun, dia sedari ada sesuatu yang tidak kena.

Kerana pada saat kamu telah beralih fokus pada orang lain. Dia hidu sesuatu.

Dan ketahuilah, pada saat itu, dia sudah menjadi "orang lain" yang kamu tidak kenal langsung.

Wahai para suami,

Sedari hakikat ini sebelum terlambat. Orang lain yang kamu baru sukai itu, belum mampu susah dan senang seperti isterimu sendiri. Baliklah pada realiti dan bertaubatlah sesegeranya.

Kerana pada saat kamu memilih untuk berlaku curang,
bukan sahaja isterimu hilang, tetapi redha Allah juga turut hilang.

Ingat itu.

Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,
Baikilah hubungan rumahtangga sebaiknya.

Sunday, June 18, 2023

10 Petua Hidup Bersemangat

Petua hidup dan bersemangat adalah dengan menyematkan 10 perkara ini dalam diri:

1. Setiap pagi adalah kesempatan baru untuk meraih impian hidup. Tetaplah dengan keyakinan untuk mencapai hal-hal besar. Namun mulakan dengan langkah kecil terlebih dahulu.

Biar kecil, asal bergerak. Jangan fikir besar namun tak gerak-gerak.

2. Hidup ini singkat, jangan sia-siakan setiap pagi. Jadikan setiap hari sebagai langkah menuju kehidupan yang lebih baik.

3. Pagi adalah waktu paling sesuai untuk melakarkan kehidupan yang sempurna sepanjang hari. Mula terus sekarang.

4. Jangan harap sesuatu yang besar itu capai dengan sekelip mata. Tetaplah konsisten dan bersemangat setiap hari, dan kamu akan melihat kemajuan yang luar biasa.

5. Kamu adalah nakhoda kehidupanmu sendiri.  Berlayarlah di lautan dunia ini dan terokailah selagi masih bernafas dalam diri.

6. Jangan biarkan kegagalan kelmarin menghalangi kejayaanmu hari ini. Gunakan setiap peluang sebagai batu loncatan untuk mencapai impianmu.

7. Saat kamu terasa penat, ingatlah mengapa kamu memulakan semua usaha ini. Jangan biarkan ia terkandas di tengah jalan. Jangan biarkan dirimu yang lalu kecewa dengan dirimu hari ini.

8. Hidup ini berharga, jadi jangan sia-siakan waktu. Manfaatkan pagi ini untuk melakukan tindakan yang akan mengubah hidupmu.

9. Keberanian tidak selalu bererti tidak takut, tetapi sebenarnya tetap berjuang meskipun dalam ketakutan.

10. Setiap langkah kecil menuju matlamat hidupmu. Jangan meremehkan kekuatan positif yang ada pada waktu pagimu. Bangkit biarpun perlahan usaha kamu.

Anak cucu dan semua sahabat Tok Abah yang luar biasa,

Semoga motivasi pagi ini dapat menginspirasikan kamu untuk memulai hari dengan semangat dan mencapai segala hal yang diinginkan!

Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,
Anjakan paradigma setiap hari.

Buat Wanita Yang Terseksa Hidup Dengan Seorang Lelaki

Saya pesan ini,

Untuk berjuta kali.

Khusus buat kalian wanita yang sunyi, sepi dan diuji.

Buat wanita yang terseksa hidup dengan seorang Lelaki.

1. Hiduplah bukan dengan pesan dan janji. Selagi kita hidup dengan 2 perkara ini, kita akan sakit setengah mati setiap hari. Hiduplah dengan bekal yang masih berbaki. Hiduplah demi anak-anak dan keluarga yang masih ada ini. Bukan hidup dengan acah-acah saya selalu disini, walau jauh tetap merindui, awak tiada rasa sunyi. Mohon meninggal dengan lelaki yang berjanji macam ni.

2. Biarpun tiada lagi lelaki disisi, fahamilah dalam hidup ini, Allah nak beritahu kita juga mampu sendiri. Asalkan Allah itu kita jadikan kekuatan setiap hari. Belajarlah dan bacalah kisah wanita zaman Rasulullah yang di uji, bagaimana mereka menguatkan hati. Cukuplah disakiti, jangan disakiti lagi perasaan dengan mengingati segala memori.

3. Seterdaya dan semampu, jika nak mengharap dan menunggu, biarlah ia bersama usaha dan doa yang berkali dan beribu. Usaha dengan membaikkan diri menjadi seindah isteri, dan berdoa agar hati lelaki itu di pulangkan kembali. Hamba itu, dia selalu berbaik sangka, dan berusaha untuk menjadikan apa yang disangka baik terjadi dengan izinnya.

4. Dalam waktu yang sakit ini, biarlah lelaki yang kita sayangi pergi. Biarlah dia mencari yang lebih baik lagi. Biarlah dia mencari hidup sendiri. Biarlah hidup kita yang kosong itu tidak terisi, tetapi ada Allah dan anak-anak yang menemani. Berilah ruang untuk kita dan dia memahami, apa erti cinta dan perkahwinan selama ini. Dia akan kembali, kerana tiada wanita sebaik isteri, iaitu diri anda sendiri.

5. Jangan cerita atau berkongsi soal hati dengan lelaki. Siapa pun lelaki itu, Ustaz ke,P.U ke, imam muda ke, atau Mufti kerana mereka semua lelaki. Lelaki yang selalu goyah saat di uji dengan wanita-wanita hari ini. Cerita dan kongsilah dengan rakan baik sebagai kekuatan, atau jika malu dengan keluarga dan sesiapa, Luahkanlah pada Allah yang Maha Mendengar setiap hari. Sekali lelaki mengetahui, kita akan di kejar setiap hari, konon mengubati tetapi hati itu akan diseksa lagi sampai setengah mati dengan tipu dan janji.

Saya cerita sebab saya Lelaki.

Lelaki realiti.

Lelaki yang diuji dan diuji berkali-kali dengan perkara yang paling diuji, iaitu WANITA YANG SUNYI.

Tolonglah jangan percayakan lelaki dalam hal hati, kecuali lelaki itu adalah suami anda sendiri.

Hati anda itu Milik Allah. Jika disakiti, pulangkan semula pada Allah kembali, bukan dikongsi dengan lelaki yang penuh dengan janji.

Maaf lelaki, kita perlu jadi baik, kerana dunia memerlukan lelaki yang baik hari ini.

Penulis asal: Abu Hurairah

Teruslah Meminta

Kita minta itu dan ini berterusan pada manusia, sampai masa manusia akan kehabisan sumber untuk memberi.

Tidak begitu pada Allah. Kerana Tuhan lah yang menjadikan sumber segala perkara.

Sebab itu Allah suka bila kita terus menerus meminta kepada Dia. Lagi banyak kita pinta, lagi Allah suka.

Malah makin kita minta, makin Allah sayang. Dan kita semakin dekat dengan Dia.

Maka teruslah meminta. Setiap waktu.

Begitulah.

— The Solusi

Thursday, June 15, 2023

Kita Layan Apa Yang Kita Ada

Yang boleh membuatkan kamu bahagia adalah dengan berhenti membandingkan hidup kamu dengan orang lain.

Dan belajar untuk mensyukuri apa yang kamu miliki.

Tak perlu nak berlumba.

Apa yang ada, itu syukurkan dulu. Baik pakaian, kereta, henfon, perabot, tv atau duit dalam bank. Takat yang kita mampu, itu lah dia.

Ada adik beradik kita pakai lebih daripada kita, itu rezeki dia. Kita tak payah nak kejar dan lawan beli yang lagi power pula. Apa yang jiran kita ada lebih, itu rezeki dia.

Kita layan apa yang kita ada.

— Firdaus Mokhtar

Belum sempat Merah, anak sudah cabut ghost pepper ni. hihi

Memaafkan Tidak Bermaksud Melupakan

Memaafkan tidak bermaksud melupakan. Memaafkan adalah satu kaedah ‘healing process’ untuk merawat hati yang tidak tenang.

Memaafkan manfaatnya untuk diri sendiri, bukan untuk diri orang yang menyakiti kita dulu. Orang yang menyakiti kita ibarat seperti ular yang mematuk kita dan dia tinggalkan bisa dalam badan kita.

Kita terus sakit dan terus sakit sebabnya bisa ular masih dalam badan. Ular dah lari jauh meninggalkan kita, dia dengan hidupnya, dia tak ambil pedulipun pasal kita.

Yang sakitnya, ular atau kita yang kena patuk? Pastinya kita yang sakit, bukan sekadar sakit, bahkan membahayakan diri jika tidak dirawat segera.

Bisa ular perlu dibuang segera, kalau tidak dibuang kita akan mati.

👉 Sama juga, marah, benci dan dendam ini adalah bisa dalam badan. Cara nak buang bisa adalah dengan ‘memaafkan’. Ya, bukan mudah memaafkan, tapi kita perlu ingat Allah itu Maha Pemaaf. Kalau kita nak Allah sayang kita, kita ikutlah sifat-sifatNya. Salah satunya sifat Pemaaf 😊

Hassan Adli

Jika Wanita Ini Yang Kau Pilih

Kalau kau memilih seorang wanita yang pernah kecewa dengan perkahwinan yang lalu sebagai isteri kau sekarang, ketahuilah bahawa kau wajib untuk menjaga hati dia lebih daripada biasa.

Mereka ini pernah merasakan hidup dalam kesedihan yang boleh membuatkan mereka mati hati dan perasaan. Iya, dicerai dan ditinggalkan sendiri dengan anak-anak. Tanpa pembelaan seorang lelaki yang sepatutnya berada di sebelah mereka selalu.

Menangis menanti habisnya tempoh iddah. Mengharap agar bekas suami datang untuk kembali bersatu. Hari demi hari tapi hampa. Suami tak muncul sampailah habis tempoh.

Merasakan diri langsung tak berguna setelah segalanya daripada diri diberikan sepenuhnya kepada suami.

Jika wanita ini yang kau pilih, kau kena jadi teman hidup yang cukup memahami hati seorang isteri. Mereka ini akan hidup dalam keadaan sangat berjaga-jaga, kerana mereka tak mahu peristiwa lama berulang lagi.

Kau ingat ini wahai lelaki, tidak ada isteri yang gembira mereka dilepaskan, sekali pun dalam rumahtangga itu isteri yang memberi segala benda. Dia sanggup buat itu semua demi rumahtangga dia.

Percayalah, cukup kau jadi suami yang sangat berlembut dalam setiap tutur kata dan setiap perbuatan.

Hati mereka sudah cukup tercalar dengan kehidupan yang dulu. Sekarang, kau dia pilih sebagai suami baru dengan satu kepercayaan.

Iya, percaya yang kau tak akan menjadi lelaki yang akan menghancurkan hati dia sekali lagi.

Begitulah.

Firdaus Mokhtar,

5 Cara Bahagia

Kita akan bahagia apabila kita memilih cara hidup begini.

1. Memilih untuk bersangka baik setiap perkara yang sedang berlaku dan akan datang.

2. Cara hidup dengan syariat dan taat, kerana rasa bahagia itu datangnya dari Allah.

3. Melepaskan yang bukan hak, dan menghargai mereka yang memilih terus berada disisi.

4. Memilih untuk terus belajar, upgrade dan ubah diri. Kita tidak mungkin bahagia jika penuh dengan wasangka buruk.

5. Pilih untuk faham setiap perkara yang diluar jangkaan atau yang melukakan, dan akhirnya memaafkan.

Bahagia itu perasaan dan ia datang dari Tuhan, jika mahu bahagia, pilihlah berdamai dengan segala ketentuan, terlalu keras dengan takdir, hati kita juga yang terluka.

Afifah Alwi

Kanak-Kanak riang

Isteri Perlukan Rehat

Isteri walaupun tak bekerja, dia perlukan rehat.

Isteri yang bekerja juga, dia juga perlukan rehat. Dan isteri, yang mana anak-anak dia ramai, lagilah perlukan rehat.

Belum sempat dia selesaikan satu-satu kerja, dia terpaksa berhenti kejap untuk beri tumpuan pada anak nombor satu. Belum sempat dia mulakan kerja nombor dua, anak yang kedua pula sudah menangis hentak-hentak kaki.

Tapi, dia cekal bersabar dalam melayan karenah anak-anak. Pada dia, itulah cabaran membesarkan anak-anak. Tak akan pernah sekali dia merungut dan menyerah kalah.

Itu belum lagi kedengaran,

“Ibu nak ini, ibu adik menangis, ibu tengok ni abang usik adik!”

Semua perkara tersebut akan dilaporkan kepada isteri. Dan ketika mana suami ke kerja, dia berhempas pulas membahagikan masa di rumah untuk melayan karenah anak-anak.

Kadang-kadang, sekuat mana dia cuba bertahan, ada juga masanya dia hilang sabar. Ada juga emosi dia menjadi tidak stabil. Ada masanya dia marah.

Dan ada juga masanya dia mengalami depresi dek kerana tidak dapat menanggung kesemua bebanan.

Malah, ia akan menjadi lebih parah bila,

“Awak boleh tak jaga bebudak tu. Terjerit sana, terjerit sini!” suara dari suami mengarahkan isteri untuk menjaga anak-anak sedangkan dia duduk di beranda menghisap rokok.

“Apa benda awak masak ni, rasa dia pelik” tegur suami tidak berlapik ketika menjamah masakan isteri.

Walhal, si isteri berusaha sebaik mungkin menyiapkan sarapan pagi sebelum suami pergi kerja. Sedaya upaya memastikan makan malam sudah terhidang ketika mana suami pulang ke rumah walaupun berperang dengan emosi untuk menjaga anak-anak sekali.

Ramai orang tak tahu, rahsia untuk menghilangkan segala penat isteri dari awal pagi bawa ke malam itu semudah dengan menghamburkan pujian sahaja. Dia tak minta lebih pun.

“Sedapnya awak masak” walaupun masa suami telan, berperang garam dalam mulut. Berperang gula dan nisbah air liur untuk memastikan makanan itu memasuki tekak.

Ya, sekadar dengan satu pujian saja, sudah mampu memadamkan segala jerih kepenatan isteri seharian.

Dan boleh saja bila ada masa free, suami meringankan beban isteri dengan membasuh pinggan dan periuk selepas isteri memasak.

Memandikan anak-anak ketika mana isteri mengemas. Membawa isteri berjalan-jalan dan membelikan sedikit barang yang dia inginkan.

Percayalah, sesebuah ikatan kekeluargaan itu akan menjadi lebih erat dan kukuh bila mana suami sentiasa menjadi orang pertama dalam menyokong setiap tindakan isteri.

Sebab itu, ada orang kata, nak tengok suami itu berjaya atau tidak, lihatlah bagaimana dia melayan isteri dan anak-anaknya.

Baik di situ, maka baiklah semuanya.

Syafiq Ridhwan

Pemandangan di Tanjung Lipat, Likas