Friday, September 22, 2023

Orang Perempuan

Orang perempuan ni,

Memang tak mudah untuk kita menjaga hatinya.

Apalagi untuk memenangi dan biarkan dia meletakkan kita no 1 di tempat yang paling tinggi.

Kita bagi satu dunia sekali, dia akan minta lagi satu dunia yang sama!

Sebab mereka tidak akan puas dan cukup dengan apa yang ada.

Maka, Allah berpesan pada kita.

Rasulullah juga berpesan yang sama.

Wanita ini wajib diberi.

Bukan beri apa yang mereka mahu, tapi apa yang mereka perlu.

Hati wanita itu di isi dengan Tuhan. Ajak dan ajar mereka untuk solat, berlemah lembut, tanggung dan jawab masalah serta persoalan mereka.

Jangan biar mereka menangis sendiri lalu memilih orang lain untuk mereka meletakkan segala masalah dan sakitnya hati.

Tak mudah. Memang tak mudah.

Sebab tu Allah bagi jadi lelaki. Semua kekuatan Allah dah bagi. Sabar dan doa, cukup dah.

Allah tahu lelaki yang baik boleh menjadikan dirinya dan wanita yang dicintai terus baik.

Ingatlah satu perkara,

Wanita yang baik atau jahat, lelaki lah yang menjadikan ia sebab kenapa mereka jadi begitu sebenarnya.

Lelaki, dia pembela!
Wanita, dia dijaga!

— Abu Hurairah Roslan

Semak 3 Perkara Ni Sekarang

3 perkara yang mungkin dianggap remeh tapi merosakkan rumah tangga

1. Hadap phone memanjang

Gadget sebenarnya boleh menyebabkan ketagihan. Tambah lagi yang suka tengok video di phone. Tiktok, Insta, FB. Lepas habis satu, terus naik lg satu. Memang melekat jelah mata di phone. 

Setkan rules bila boleh tengok phone. Dulu kami kerap bergaduh tentang phone. Yelah dah buat bisnes di phone kan. Sehinggalah kami bersetuju dengan rules:

No phone during driving
No phone for co-driver
No phone waktu makan dengan family
No phone bila spend masa dengan pasangan or anak2. 
No phone when we are needed physically.

Contohnya pasangan tengah nak bercerita, or luah perasaan ke etc, janganlah dengar sambil hadap phone. That is so rude. 

Or tengah sama2 shopping, tapi sorang hadap phone memanjang. Lebih baik tak payah shopping sama2 kan. Sometimes we may feel that aktiviti tu tak berkait dengan kita. Contoh tengah shopping ikan, ayam, sayur. Suami mungkin rasa lauk basah tu tak berkait dengan dia dan dia tak reti menyumbang pun dalam membuat pemilihan lauk, so lebih baik dia main phone je. Spesis orang macamni, lebih baik tak payah dijamu makan nanti. Selfish. Dia fikir isteri tu bibik dia ke?

2. Melengahkan solat

Solat awal waktu memang sangat bagus sebab melatih berdisiplin. Solat awal waktu juga menzahirkan kebergantungan kita kepada Allah. Kita nak cepat cepat buat perkara yang Allah suka, supaya Allah juga sentiasa memelihara hidup kita. 

Cuba perhatikan kalau hidup keluarga kita porak peranda, mungkin disebabkan lalai dalam solat, lama tak baca quran, kurang tazkirah dan ta'lim dalam keluarga etc. Suami selaku ketua keluarga perlu memastikan seluruh ahli keluarga dekat kepada Tuhan. Hati yang sering mengingati Tuhan adalah hati yang lembut dan lunak. Hati yang jauh dari Tuhan akan selalu keras, degil dan memberontak. 

3. Tidak jaga waktu tidur

Orang zaman dahulu, hidupnya tak banyak distraction/ gangguan. Jadi banyak masa dihabiskan bersama keluarga termasuklah tidur bersama. Zaman sekarang banyak distraction seperti phone, game, mamak dsb. Jadi ramai yang sebenarnya konon bersama keluarga tapi sebenarnya hanya jasad sahaja disitu. 

Contoh begini. Isteri tidur jam 10pm. Suami main game sampai jam 2 pagi. Atau sama2 baring atas katil, tapi masing2 hadap phone berjam2 sehingga tertidur. Atau suami dah tidur jam 12pm, isteri browse Shopee sampai 4 pagi. Atau isteri tidur dengan bayi disatu bilik, suami tidur di sofa ruang tamu sebab taknak diganggu tangisan anak. Kononnya alasan kerja esok, maka kena cukup tidur. Pasti akan ada hati yang terasa dan wujudnya communication breakdown. Padahal waktu sebelum tidur lah untuk suami isteri berkongsi cerita, meluah rasa eg kalau ada tak puas hati, meminta maaf dsb. Pillow talk kata orang. Hilang elemen ini akan menjadi punca keluarga mula berantakan. 

Sekarang ni kes perceraian meningkat mendadak. Cuba fikir apa bezanya dulu dan kini. Mungkin 3 perkara diatas ini yang tidak dijaga. 

Bolehlah audit keluarga semula, semoga keluarga kita menjadi safe and happy nest untuk semua ahli keluarga ❤️

Monday, September 18, 2023

Begitulah JODOH

Penat dah nak fikirkan soal jodoh kan?

Ada orang yang pada mulanya beriya, tapi tiba-tiba diam dan menghilang.

Ada orang yang dah memberikan segunung harapan, tapi tiba-tiba berubah fikiran dan perasaan.

Ada orang yang dah macam-macam berjanji, tapi akhirnya memungkiri.

Ada orang yang dah saling mencintai, tapi keluarga tidak merestui.

Ada orang yang dah berkorban itu ini, tapi akhirnya ditinggalkan dan tidak dihargai.

Sedih, teramat sedih.
Air mata jatuh, Allah sahaja yang tahu.

Begitulah jodoh.

Digenggam erat, dipaut kuat, tapi bila Allah kata "Dia bukan jodohmu" maka yang hampir jadi pun boleh terlerai begitu sahaja.

Bahkan yang dah diikat pun boleh putus.

Namun.
Allah tidak sesekali zalim dan memungkiri janji bagi orang-orang beriman.

Ada orang yang berkali-kali disakiti,
Ada orang yang berkali-kali dikecewakan,
Ada orang yang berkali-kali putus asa,
Ada orang yang berkali-kali tak jadi-jadi,

Tapi.

Oleh kerana berkat,

SABAR.
REDHA.
SANGKA BAIK pada takdir Allah.

Lalu dia BERDOA tanpa putus asa padaNya,
pasti "happy ending story" Allah berikan jodoh paling TERBAIK pada hamba tersebut.

Kerana yang tragedi buruk, kenangan pahit, pertemuan yang menyakitkan, semuanya ada hikmah Allah nak didik hati.

Didik kita lebih mengenal "cinta pada Allah".

Betul. Sabar itu pahit.

Tapi nikmatnya sangat manis bila Allah mengurniakan anugerah paling indah.

Jodoh paling indah itu adalah yang menenangkan.

Jodoh paling indah itu adalah yang saling menerima kekurangan.

Jodoh paling indah itu adalah yang saling menguatkan kerana Tuhan.

Ada.
Percayalah.
Jodoh seperti itu wujud.

Hanya terkadang kita selalu bingung.

"BILA?"
"SIAPA?"
"DI MANA?"

Waktu itu milik Allah.
Ada orang dikurnia cepat.
Ada yang diberikan lambat.
Semuanya tepat dalam tempoh waktuNya.

Siapa orangnya,
mohonlah paling terbaik menurut Allah dunia akhirat bukan menurut hati dan perasaan kita semata.

Di mana,
Biarlah Allah menentukan tempat pertemuan yang baik-baik.

Tugas kita.
Ihfazillah. Yahfazka.

Jaga hak Allah.
Pasti Allah jaga semua hak kita paling baik.

Masakan Allah "biarkan" hambaNya yang baik-baik menangis begitu sahaja?

Tidak.
Sesekali tidak.

Bila Allah kata, "Kun fayakun"
Semuanya teramat mudah bagiNya,
walau teramat mustahil bagi kita.

Berbahagialah duhai hati yang sedang sabar (sangat-sangat sabar) menanti, bahawa jodohmu ada dalam sangkaanmu padaNya.

Dia wujud, dalam doamu padaNya...

- Hikmatul Islam

7 Ayat Buat Kita Sedar

7 ayat ini buat kita sedar tentang kehidupan dengan serta-merta:

1. Kita takkan dapat ‘hari ini’ lagi. Jadi, nikmati dan raikan, catat, rakam semua yang hari ini.

2. Semua orang ada ‘jam kehidupan’ yang berbeza. Jangan membandingkan. Tetap usaha. Masa kita akan tiba.

3. Yakinlah bahawa dengan masa akan mengubat segala duka lara. Jangan ratapi pahitnya hidup, sehingga terlupa manis di hujungnya.

4. Jangan letakkan kepercayaan kepada sesiapa. Tetapi tak bermakna sampai kita hilang hormat padanya. 

5. Kita perlukan rehat terhadap orang di sekeliling, bukan pada kehidupan. 

6. Bebaskan diri kita dari belenggu masa lalu. Masa itu takkan pernah kembali. Perbaiki ia supaya tak berlaku lagi di waktu hadapan.

7. Jangan putuskan silaturahim dengan orang yang telah lama dengan kita semata-mata kita telah jumpa yang baharu.

Bersahabat, dan hargai sesiapa sahaja yang pernah susah payah dengan kita.

Anak cucu dan sahabat Tok Abah,

Simpan dan kongsikan pesanan ini pada semua. Nikmati hidup hari ini dan yakin bahawa Allah sentiasa bersama kita dalam susah dan senang.

Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,
Kebaikan menguasai dunia.

Monday, July 24, 2023

Ketaatan Membawa Bahagia

1. Mengapa hidup masih berantakan? Kurang rasa sempurna, rasa kurang bahagia, kurang rezeki, terasa sempit di sana sini, terasa payah dan banyak berkeluh kesah? Hidup bagaikan tidak lancar dan tersekat-sekat. Apa puncanya ya?

2. Kerana Subuh kita masih berantakan. Sengaja meninggalkan solat Subuh, melewatkan bangun waktu Subuh, masih tidur ketika waktu Subuh sudah habis, tidur selepas Subuh, tidak mengemaskan diri selepas bangun Subuh, malas keluar mencari rezeki selepas Subuh, dan enggan mengeluarkan sedekah Subuh. Kita tidak bersedia langsung untuk menyambut pemberian dan limpahan rezeki yang bakal Allah kurniakan kepada kita.

3. Sedangkan sebetulnya Subuh adalah barameter yang paling penting untuk kehidupan seorang manusia.

4. Lihatlah usahawan berjaya, lihatlah para pekerja yang mulia, lihatlah ibu-ibu berjiwa mulia, lihatlah bapa-bapa yang bekerja keras membangunkan keluarga, sebelum Subuh lagi mereka sudah bangun mempersiapkan diri menyambut rezeki.

5. Mereka bangun seawal pagi membersihkan diri, menyirami badan dengan air bersih, mengambil wuduk membersihkan anggota wuduk untuk menghadap Sang Pemberi rezeki, mereka sujud dalam tahajjud, mereka berdiri di hadapan Allah, kemudian bergerak ke masjid untuk berjemaah Solat Subuh.

6. Mereka mengerjakan Solat Qabliah yang pahala serta ganjarannya lebih baik dari segala dunia dan isinya. Selepas Solat Subuh, mereka berdoa menadah tangan mengharap restu dan rezeki Ilahi, keberkatan Allah mereka pohonkan, agar terbuka segala jalan kebaikan dan rahmat.

7. Kemudian, selesai Subuh saja mereka bertebaran di muka bumi demi mencari rezeki. Yang berniaga membuka kedai, yang nelayan turun ke laut, yang menoreh getah pergi ke  kebun getah, yang petani turun ke bendang dan ladang sawah, yang berniaga nasi lemak membuka gerai, yang surirumah menyiapkan anak-anak dan turun ke dapur,  yang bekerja keluar rumah untuk ke pejabat, yang membawa grab mulai menghantar pelanggan, yang berniaga online mulai membuka laptop dan wifi, yang menjadi guru mulai bergerak ke sekolah atau dewan pengajian, yang belajar pergi ke sekolah, yang masih di kolej dan universiti pergi ke kampus dan dewan kuliah.

8. Tidak akan terbangun para orang munafiq yang tidak Allah izinkan untuk mengerjakan Solat Subuh.

9. Tidak akan terbangun orang-orang yang banyak bermaksiat kepada Allah pada siang hari hanya untuk Solat Tahajjud.

10. Maka perhatikanlah mengapa hidup kita masih susah, stress, berantakan, sempit, tidak bahagia, banyak hutang, jauh sekali dari merasa tenang.

11. Muhasabah diri kita sendiri. Rumus mudahnya adalah ketaatan membawa kepada kebahagiaan. Manakala maksiat dan dosa membawa kita kepada kesengsaraan hidup. Jika rumus ini kita pegang sungguh-sungguh, maka perhatikanlah bahawa hidup kita akan berubah sedikit demi sedikit.

12. Sehingga kita pun akan berusaha untuk selalu taat beribadah kerana kita tahu bahawa itulah satu-satunya jalan meraih bahagia.

13. Aktiviti Kelab 7 Pagi, setiap jam 7 pagi. Alhamdulillah istiqamah dengannya sejak hampir 4 tahun lalu.

— Faridah Mohd Ali

Journey Ini Sangat Panjang

Solat

Dari tak solat langsung, solat sehari sekali.

Dari solat sehari sekali, solat 2 kali.

Jadi 3 kali.

Lepas beberapa tahun tu lengkap.

Subuh tu biasalah, ganti memanjang.

Aku akui journey ini sgt panjang. Dari solat 5 waktu dan jadi langsung tak solat sampai tahap aku tak percaya dan rasa solat ni takde function langsung, sampai lah aku kembali kepada tikar ini.

Kadang-kadang terfikir, kenapalah balik-balik kena solat. Penat. Mcm takde kerja lain. Rasa beban sangat. Agama lain tak suruh pun begitu kerap. Kau nak sembahyang, sembahyang. Tanak sudah. Tak wajib pun.

Nak pegi kuil, pegi. Nak pegi gereja setiap Ahad, pergi. Tanak pegi, sukahati.

Lepas tu nak kena khusyuk, jaga bacaan.

Baik tak payah buat.

Rupanya lagi sibuk kita solat, lagi rasa tenang dan serabut dengan dunia.

Dunia ni menyesakkan, solat itu menenangkan. Kadang kadang rasa berat dan sempit dada bila berurusan dengan dunia. Dan sampai satu tahap aku tak sabar nak solat.

Solat keeps me sane. Solat keeps me grounded. Solat keeps me focused.

Betapa sayangnya Allah dekat kita, dia paksa kita "bercakap" dengan dia lima kali sehari. Kadang kadang kita rasa kecewa dgn manusia, dengan kawan kawan. Masa sujud tu datang rasa sebak yg amat sgt dn baru aku sedar satu satunya tempat yg setia dan tak pernah meninggalkan aku adalah tempat ini. Adalah Tuhan ini yang memaksa aku bercakap dengan dia 5 kali sehari, without fail.

Musibah demi musibah yang aku anggap solat tak function tu rupanya untuk aku sedar dan beringat yang Allah hantar semua tu untuk aku ingat dekat dia. True enough, lepas aku dh kembali, semua musibah dan dugaan tu aku rasa kecik sgt. Takde apa apa langsung. Sebab ketenangan yang aku dapat.

Temujanji aku dengan Tuhan berlaku setiap hari pada waktu yg sudah ditentukan malah aku rasa hidup aku sgt pelik kalau aku tak solat dengan lengkap.

It looks the same, it feels the same, it calms the same wherever I may be.

Aku juga mendoakan kepada kawan kawanku dan saudara mara yang belum merasai ketenangan di tikar buruk ini supaya mampu merasainya juga. Ini bukan mengenai jadi manusia lebih baik vs lebih jahat. Ini adalah mengenai kembali kepada fitrah dan berkomunikasi secara rutin dengan Pencipta yang asal.
#hujan 
Salam Maal Hijrah - berhijrah ke arah ketenangan. It's not where we started. It is where we END.

— Amirul Nazri

Syurga Isteri Tidak Terletak Dibawah Telapak Kaki Suami

Syurga isteri tidak terletak dibawah telapak kaki suami...

Tapi ketaatan isteri terhadap suami yg akan membawa dirinya ke syurga...

Ayat keramat yg org laki selalu guna, syurga isteri bwh tapak kaki dia...klu isteri lebih2, maka dia akan kata,

"Tak cium bau syurga nnt..."

Suami yg baik, dia akan menyediakan jalan yg lurus utk isterinya masuk ke dlm syurga manakala suami yg kurang baik, dia akan membuatkan jalan2 ke syurga tu jd berliku-liku utk si isteri tempuhi...

Kata Rasulullah s.a.w, "Suami ni syurga dan neraka utk si isteri..."

"Ketaatan" isteri ni hanya akan lahir utk seorang suami yg bertanggungjawab, yg sentiasa melaksanakan tugas dan kewajipannya terhadap si isteri...suami tak pernah menafikan hak isteri, bahkan suami menghormati kedudukan isteri sebagai seorang insan yg diamanahkan Allah s.w.t kpd dirinya utk dijaga, disayangi dan dihargai...

Peranan suami tu adalah utk membawa isteri ke syurga...bukan mengugut utk "menerakakan" si isteri asbab nak si isteri buat apa yg tak sepatutnya isteri buat, tanggung apa yg tak sepatutnya isteri tanggung dan pejam mata serta redha dgn ketidakadilan, penganiayaan dan kezaliman suami terhadap diri si isteri asbab suami tu "pegang" kunci utk isteri ke syurga...

Kata putus utk syurga atau neraka seseorang tu, terletak pd Allah s.w.t...kita hanya akan digunakan sebagai asbab utk hari perhitungan nnt...bukan kita yg bg kata putus, tapi Allah s.w.t...bukan kita yg tentukan, tp Allah s.w.t...

Tugas hakiki seorang suami yg mungkin kebanyakan lelaki lupa ialah menjauhkan ahli keluarganya dari masuk ke dalam api neraka, bukan melontarkan mereka masuk ke sana...✌️

— Firdaus Shakirin

Bendung Buruk Sangka

KITA tidak boleh mengawal hati orang lain. Apa yang hendak mereka kata dan fikir semuanya di luar jangkaan kita. Ilmu dan kehendak mereka yang akan melantunkan tindakan serta perangai.

Jika baik hati mereka, baiklah cakap, layanan dan sangkaan mereka tetapi jika hati mereka kotor, maka tindakan akan menterjemahkan segala hitam yang bersarang di kotak hati itu.

Kadangkala, kita sudah lakukan yang terbaik tetapi mereka kata kita main-main. Kita sudah berubah menjadi baik, mereka kata hendak menunjuk-nunjuk.

Kita lakukan dengan ikhlas, mereka kata ada ‘udang di sebalik batu’. Rasanya kita sudah boleh agak apa perasaan jika berada dalam situasi begitu.

Tentu marah bukan? Justeru, kita perlu banyakkan bersabar dan bertenang kerana yang mengukur baik dan buruk bukannya manusia. Yang memberi kehidupan bukannya mereka kerana manusia tidak ada kuasa.

Hanya Allah s.w.t yang paling mengetahui apa yang ada dalam hati kita. Dialah yang ukur kebaikan kita, memberi rezeki dan memberi kehidupan kepada kita.

Allah yang Maha Kuasa jugalah yang melarang buruk sangka (suu’ zann).

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Jauhilah kamu daripada buruk sangka kerana buruk sangka ialah seburuk-buruk berita.”

Manusia memang suka bersangka-sangka. Apa lagi sangkaan yang buruk. Hati, akal dan mata selalunya tidak seiring. Mata melihat, otak memproses manakala hati mentafsir.

Jika hati yang berbaur dosa dan dengki mentafsir kecantikan seseorang, dia akan kata perempuan ini mesti pakai susuk. Jika ada yang berpakaian cantik dikatanya ini mesti hendak menunjuk-nunjuk.

Tetapi jika pakai selekeh pula dikatanya ‘memang selekeh betul.’ Jika ada yang pakai barang kemas dikatanya ‘sengajalah tu hendak tunjuk kaya.’ Jika tidak ada apa-apa pada tangan dikata pula sebagai orang miskin.

Demikian juga apabila bercakap banyak dikata hendak tunjuk pandai. Apabila diam tidak bercakap pula dikatanya sombong. Memang manusia punya hak untuk bersangka.

Jika yang baik punya sangka empunya diri yang untung. Hati tenang, minda damai, jiwa harmonis, disenangi dan mudah dapat kawan. Jika sangkaan buruk, jiwa sendiri yang sengsara.

Hati sakit saja. Banyak fikir mengenai orang, darah pun naik. Pendek kata, semua tidak kena. Sebab semua hal orang dia hendak fikir dan tafsir, sedangkan diri sendiri tidak difikirkan.

Tabiat sangka buruk terkena kepada semua golongan. Yang tua dengan cara dan kepakarannya manakala yang muda dengan kehangatannya.

Jika kita hendak layan semua sangka buruk orang dan semua hati kita hendak jaga, alamatnya makan hatilah kita. Lihat sejarah Luqman al-Hakim dengan anaknya menaiki seekor keldai.

Dalam perjalanan orang kata: “Ada ke patut dua beranak naik keldai, kesian keldai tu.” Selepas itu. Luqman duduk di atas keldai dan anaknya tarik dari bawah.

Orang kata juga: “Ada ke patut bapa biarkan anaknya menarik dari bawah.” Tukar posisi pula, anak naik keldai manakala Luqman pula yang tarik dari bawah. Orang kata juga, anak apa itu buat ayah dia macam hamba.

Justeru, cara terbaik ialah merawat penyakit buruk sangka ini. Di sini disarankan beberapa cadangan antaranya:

Berbaik sangka dengan semua orang. Tafsirkan segala yang kita lihat dengan positif.
Tanamkan rasa takut pada kemurkaan dan ancaman azab Allah dengan buruk sangka. Sucikan hati dengan memperbanyakkan zikir. Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Melakukan muhasabah diri.

Kenapa Aku??

Kenapa aku?

Seringkali apabila ditimpa ujian, persoalan ini akan muncul dalam fikiran kita.

Jika soalan ini muncul lagi selepas ini, jawap terus dalam hati bahawa “Syukur! Ini tanda kasih sayang dari Allah.”

Kadang persoalan begini memang terdetik sendiri, lagi-lagi waktu kita sedang down.

Namun, kena cepat-cepat ingat akan hakikat bahawa ini bukanlah ujian semata-mata tetapi telah disaluti dengan kasih sayang dari-Nya.

Dia tahu kita kuat sebab Dia uji sesuai dengan upaya kita. Jadi, pasti kita boleh harungi walaupun pada saat ini, segalanya macam buntu dan mustahil.

Namun, yakinlah bahawa ada pertolongan dari-Nya asalkan kita tidak duduk diam atau menunggu bulan jatuh ke riba.

Kita kena usaha, cari jalan dan terus ikhtihar. Kerana hanya dengan berusaha sahaja, pasti dibukakan jalan seluas-luasnya buat kita.

Yakini itu ya.

Selamat malam, semua sahabat Tok Abah yang sedang diuji.

Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,
Senyum walaupun kamu sedang menangis.

Tuesday, July 18, 2023

BAHAGIA Yang Macam Mana??

Nilai bahagia atas setiap kita berlainan. Takkan pernah sama. Untuk setiap kita, pasti ada Allah beri kebahagiaan yang berbeza.

Ada orang bahagianya dengan kerja yang dia ada.

Ada yang bahagianya dengan rumah yang dia miliki.

Ada yang bahagia dengan pendapatan tinggi yang dia usahakan.

Ada yang bahagia sebab dah berkahwin.

Ada yang bahagia dengan anak yang seorang.

Ada pula yang bahagia dengan anak yang ramai.

Ada juga yang bahagia sebab masih ada ibu bapa hidup bersama.

Ada yang bahagia bila dia masih hidup hari ini selepas pagi tadi kemalangan teruk yang boleh meragut nyawa dia.

Maksudnya bahagia ini pasti akan ada pada setiap daripada kita, cuma ia berbeza lah. Kita sendiri yang kena tahu bahagia apa yang Tuhan beri pada kita.

Namun banyak yang terjadi hari ini, kita terlalu melihat apa yang ada pada orang lain. Hal yang menjadi kebahagiaan orang itu yang kita nak ada pada kita.

Sedangkan yang ada pada kita selama ini, tak ada pun pada orang lain.

Kita suami isteri ada kerja yang bagus, gaji yang besar, cuma mungkin suami kita malas bantu kerja rumah. Sepatutnya kita berbahagialah dengan apa yang ada dulu.

Kita sibuk banding dan perhatikan suami orang lain. Yang rajin tolong itu ini. Sedangkan suami orang tu tak ada kerja, syarikat dia kerja tutup, jadi banyak masa dia di rumah. Begitulah lebih kurang.

Maka sebab itu, mencari bahagia itu bukan di luar sana. Tapi cari apa yang ada dekat diri sendiri.

Syukuri apa yang kita ada, itulah bahagia.

Sekali pun hal yang kecil, itu juga bahagia. Kita hargai dulu semua hal itu, percayalah nanti Allah akan beri lebih.

Itukan janji Dia?

Sekian.

Firdaus Mokhtar,
Kita semua ada bahagia sendiri.

— Firrdaus Mokhtar

Salam Awal Muharram

Amalan Sambut Muharram.

1. Doa akhir tahun. Boleh baca selepas Asar dan sebelum masuknya waktu Maghrib.

2. Doa Awal tahun boleh baca selepas solat Maghrib.

3.  Baca Yassin selepas Maghrib.

4. Ayat Kursi 360x diawali bismillah setiap satu.

5. Puasa pada 1 Muharram.

Tak boleh semua, buat salah satu pun Alhamdullillah.

Afifah Alwi
Moga takdir mendatang tentang baik-baik sahaja.




Saturday, July 15, 2023

Buat Engkau, Engkau & Engkau

Kalau kau berasal dari keluarga yang soleh. Cukup didikan agama. Aurat dan pergaulan sentiasa terpelihara. Bacaan al-Quran dan zikir sentiasa bergema di ruang tamu;

Kau jangan rasa kau bahagia!

Sebab kau tak mampu nak rasai kebahagian mereka yang bermujahadah mati-matian semata-mata ingin berubah.

Mereka yang berasal dari keluarga porak peranda. Jahil ilmu agama. Aurat tak terjaga. Tak tahu solat. Hanyut dengan dunia. Caci maki sentiasa bergema di seluruh rumah.

Sungguh! Kau tak akan mampu nak rasai macam mana hebatnya mereka bermujahadah. Kejap tenggelam. Kejap timbul. Nak pakai tudung labuh kena maki. Nak pakai stokin kena caci. Nak jaga ikhtilat kena marah. Nak ubah akhlak kena perli.

Mereka yang merasai keperitan dalam mujahadah ini, sebenarnya mereka sedang rasai betapa lazatnya kebergantungan secara total kepada Allah!

Mereka belajar huruf demi huruf ayat al-Quran hingga lancar.
Mereka belajar rukun demi rukun dalam sembahyang.
Mereka belajar tutup aurat dengan sempurna.
Mereka korbankan kemesraan dalam berikhtilat demi menjaga maruah.
Mereka korbankan hiburan lagha demi basahkan iman dengan zikrullah.
Mereka tabahkan hati ketika diejek apabila hendak berubah.

Ya. Kalau kau berasal dari keluarga yang soleh. Jangan sesekali kau sombong menyisihkan mereka yang hendak berubah! Jangan sesekali kau berlagak dengan labuhnya tudung kau, tingginya songkok atau serban kau! Jangan kau takjub dengan taranum kau yang mendayu. Jangan bangga dengan ceramah kau yang disukai ramai.

Kerana belum tentu engkau yang lebih dicintai Allah berbanding mereka!

Kerana belum tentu engkau yang dirindui Rasulullah berbanding mereka!

Kerana belum tentu engkau layak menghuni syurga berbanding mereka!

Buat engkau, engkau, dan engkau yang sedang merasa peritnya mujahadah, terus cekalkan hati! Allah sedang melihat usaha kau!

Yakinlah dengan sepenuh keyakinan, 1 hari nanti Allah akan bawa engkau keluar dari jalan gelap kau.

Menuju cahaya dari syurga!

Buat Para Suami, Berubahlah Sebelum Terlewat

Isteri dah tawar hati. Sampai akhirnya minta cerai.

Si isteri banyak nak meluah.
Si suami malas nak mendengar.

Itu yang jadi punca utama rumahtangga dingin sentiasa.

Bukan maksud Tok Abah mahu menyalahkan suami, tetapi kita semua ini adalah pemimpin rumahtangga.

Maka, baik buruk rumahtangga, kuncinya adalah pada kita juga.

Ramai suami terlepas pandang 10 hal ini:

1. Suami tidak aktif nak berborak. Buat isteri rasa terabai dan tak dihargai.

2. Suami tidak memberikan perhatian yang cukup kepada isteri, baik secara fizikal mahupun emosi.

3. Hal rumah diserahkan bulat-bulat kepada isteri. Buat isteri rasa dalam perjuangannya seorang diri.

4. Kurangnya kewangan. Si suami yang tak pandai urus kewangan, akhirnya memakan besar kesannya pada isteri dan anak-anak.

5. Suami dengar sambil lewa sahaja atau tak betul-betul berik sokongan emosi apabila isteri ada masalah atau ujian dalam hidup.

Bagi suami, dia rasa isterinya mengada-ngada. Ini banyak Tok Abah temui.

6. Tiada waktu yang berkualiti antara suami dan isteri. Suami main handphone, si isteri pun main handphone.

Akhirnya kedua-dua jurang semakin menjauh dan rasa kesepian.

7. Suami tak pandai menghargai. Apalah salahnya, balik kerja belikan isteri bunga, coklat atau apa-apa sahaja yang buatnya gembira.

Orang perempuan ni, tak kisah mahal murah, asal suami beli barang yang boleh menyenangkan hidupnya.

Tak tahu nak beli apa. Buka je shopee isteri, apa yang dia dah "add to cart" tu, kasi bayar.

8. Suami dah tak menunjukkan minat dalam hubungan batin. Sampai isteri rasa dah tak penting semua tu.

Ini bahaya! Kebanyakkan puncanya adalah suami lebih seronok melayari laman web yang bukan-bukan atau dia sudah menemui 'kepuasan'nya di tempat lain.

9. Suami tak libatkan diri dalam soal mendidik anak-anak. Tak tengokkan kerja sekolah, tak ajar anak mengaji.

Semuanya diurus isteri.

10. Kurangnya sokongan kerjaya atau bisnes yang dibuat isteri. Baginya cukuplah sekadar beri duit nafkah. Tanpa perlu sit down dan melakarkan impian isteri.

Isteri tetap juga seorang manusia, yang mempunyai impian dan perkara yang hendak dicapai dalam hidup.

Maka, si suami kena bantu dan bukakan jalan buat isteri membina impiannya juga.

Para suami,

Berubahlah sebelum terlewat. Kita ini adalah pemimpin bagi rumahtangga. Berjaya atau tidak rumahtangga kita ini, 70% kuncinya ada pada kita.

Maka, kena beri 100% perhatian dan berusahalah untuk menyinari mahligai yang kalian bina ini sampai syurga.

Tok Abah doakan buat para suami di luar sana terus berjuang dan kekal kuat ya!

Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,
Suami adalah tonggak rumahtangga.

Bangun Lebih Bersemangat & Ceria

Jika kamu tidur 7 jam semalam dan masih bangun dalam keadaan penat, kamu kena baca ini:

1. Bina rutin tidur yang tetap.

Sebelum tidur:

- Elakkan scroll media sosial 1 jam sebelum tidur.
- Pastikan tempat tidur gelap dan sejuk.
- Jangan makan makanan berat atau pedas 3 jam sebelum tidur.
- Pakai baju tidur yang selesa.

2. Minum 2 gelas air masak setelah bangun tidur.

Pastikan ada botol air sebelah katil kamu.

Air dapat membantu:

- Melancarkan pencernaan.
- Buang segala toksin dalam badan.
- Meningkatkan sistem imunisasi badan.

3. Urus diet dengan teratur.

Sebelum tidur pastikan:

- Perut jangan terlalu kenyang. Seperti Tok Abah di poin pertama, kena makan 3 jam sebelum tidur.
- Elakkan caffein dan tukar kepada minuman lebih berkhasiat. Macam Tok Abah, memang amalkan Choco Latte untuk lebih bertenaga.
- Amalkan makan buah dahulu sebelum makan hidangan utama.
- Amalkan CordyC+ supplemen terbaharu dari ExcelCare yang ada cordycep militaris dan vitamin c untuk kesihatan luar biasa.

4. Utamakan senaman harian.

Ikuti senaman mudah ini:

- Buat 50 push up. (5 push up 1 set. Jadi ada 10 set).
- Buat 50 squats. (5 squats 1 set. Jadi ada 10 set).
- Berjalanlah 5,000 langkah sehari.

5. Pastikan tubuh badan kamu lebih relaks di waktu malam.

Elakkan menonton tv, tengok handphone dan bekerja di waktu malam.

Sebaiknya perbanyakkan membaca buku, tadabbur Al-Quran, berzikir dan solat sunat taubat dan witir.

Semoga kita amalkan semua tip yang disarankan di atas. Dan dapat tidur yang lebih berkualiti malam ini dan hari-hari yang mendatang.

Tidur yang berkualiti juga dapat mengelakkan stress dan burnout tau.

Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,
Bangun lebih bersemangat dan ceria!

Dua Sebab Perempuan Pilih Untuk Berdikari.

1. Dia ada pengalaman lepas yang ketika dia terduduk tidak ada yang sudi menghulurkan tangan. Bukan mengungkit, namun memilih untuk 'buat dengan cara sendiri' kerana tak mahu berharap lagi.

2. Apa yang dia pernah hajatkan atau dia mintak bantuan orang, selalu sangat tidak sama seperti yang dia impi. Memang tidak semua perkara akan selari, tapi tidak apalah, dia pilih berdikari agar boleh membahagiakan diri sendiri.

Perempuan berdikari bukan egois, bukan juga penting diri. Yang kalian kena tahu, dia 'bahagia' dengan cara dia hidup kini.

Afifah Alwi

Tuhan Pasti Akan Sentiasa Menemani Kau

Jalan yang paling sukar bila kau kecewa adalah memilih untuk memeluk kekecewaan tersebut.

Memilih untuk memeluk bermakna dengan apa cara sekali pun, kau perlu mengharungi kekecewaan tersebut. Dan ini adalah satu cabaran yang paling sukar untuk kau jalani sepanjang kehidupan kau.

Sebab apa. Sebab benda ini adalah benda yang paling kau tak nak ia berlaku. Benda yang sangat-sangat kau tak nak ia terjadi. Dan kau tahu bila ia terjadi, kesakitan yang kau cuma agak-agak sebelum ini adalah benar. Kau lebih rela menjauhi daripada kau berhadapan dan hidup dalam kesakitan tersebut

“Tapi masa akan memulihkan bukan?”

Ya benar. Tapi bukan untuk semua keadaan. Dan sebenarnya, ia cuma menenangkan. Memberikan gambaran dalam pandangan kau yang kesengsaraan ini, lambat laun akan hilang.

Tapi ada kesakitan yang berapa lama masa berjalan sekalipun, ia sudah sebati dengan diri kau. Dan mungkin pada masa akan datang, bila kenangan menjentik, ia akan muncul seolah kau terluka seperti hari pertama.

Kadang-kadang, satu-satunya cara adalah dengan hidup bersama dengan kesakitan tersebut. Penyembuhan ini akan berjalan dari dalam. Tiada siapa pun dapat membantu kau secara total.

Dan paling penting, jangan marah diri sendiri. Jangan kecewa dengan diri sendiri seandainya proses penyembuhan itu tidak berjalan seperti mana kau harap.

Tak ada garis masa yang mengatakan selepas tempoh ini, kau akan sembuh setakat ini. Kita berurusan dengan diri kita sendiri dan mengikut jadual yang kita aturkan sendiri.

Masa tak akan menyembuhkan segala-galanya. Tapi masa akan mengajar kau untuk mencari jalan hidup dengan kehidupan yang baru walaupun kesakitan lampau itu mengikut ke mana saja kau pergi.

Perasaan itu kejap akan datang dan pergi. Biarkan ia membersihkan kau dan meninggalkan kau. Tiada apa dalam dunia ini yang kekal. Not even you.

Masa tak akan menyembuhkan.

Tapi, Tuhan pasti akan sentiasa menemani kau.

Membalut kelukaan kau dengan kasih dan rahmat Dia.

Syafiq Ridhwan

KIFARAH ITU BENAR, JANJI ALLAH PASTI

Semakin kita dewasa, mental kita harus lebih kuat bagi menghadapi segala pahit maung kehidupan dan karenah manusia. Kita di dewasakan oleh keadaan. Tidak lagi terlalu berharap dan mahu dimengerti. Tetap tenang melalui fasa sibuknya perang dengan isi kepala sendiri dan stress yang hampir gila.

Sudah tahu caranya berpura-pura kuat dan tersenyum dihadapan orang. Mahu seperti apa pun diri kita, sebaik apa pun diri kita, pasti nama kita akan berbeza disetiap cerita orang lain. Perkataan orang-orang yang membuat kita down, insecure, over thinking malah membuat kita hilang semangat. Orang tidak tahu bagaimana kuatnya kita mengawal dan merawat hati sendiri untuk dilihat baik-baik saja. Namun kita rapuh di atas sejadah kerana kita tahu hanya ALLAH yang tidak mampu kita bohongi.

Buat mereka yang pernah menyakiti, mengecewakan, mengkhianati.. kita percaya kekuatan doa. Apa lagi doa yang lahir dari rasa sakit, penderitaan, hati yang hancur itu pengaruh yang sangat luar biasa. Kita tak perlu mengotori tangan untuk membalas atas apa yang mereka lakukan terhadap kita. Dan satu perkara yang kita tersangat yakin, kifarah tak pernah salah alamat. Sesungguhnya, yang melukai akan terluka pada waktunya. Yang menghina akan terhina pada waktunya.

Ingat! Kifarah ALLAH itu wujud. Kita kecewakan orang, esuk lusa orang lain akan buat dekat pula. Kita buat jahat pada orang, esuk lusa kita kena balik. Hidup umpama roda. Just wait until the wheels to hit you back and then you will remember that thing you make to someone. Setelah kau menyakiti hati seseorang, mungkin kau boleh tersenyum tapi ketahuilah senyum itu tak akan bertahan lama. Dan akan berubah menjadi tangisan pilu penyesalan. Ketika orang yang kau zalimi mulai mengangkat tangannya mengadu nasibnya pada ALLAH Swt.

Percayalah, bahagia dengan apa yang kita lakukan pada orang lain tidak kekal lama. Nikmat yang dirasai sekarang akan luntur sedikit masa lagi. ALLAH menjanjikan balasan atas setiap perbuatan. Kifarah akan berjalan, apa yang di inginkan tidak akan tercapai. Nikmat akan ditarik satu persatu. Yakinlah, kifarah itu benar. Apa yang kita lakukan pada orang lain, suatu hari nanti ALLAH akan kembalikan pada kita juga, malah lebih teruk lagi sakitnya.

— Rohana Saad

Friday, June 30, 2023

Takpa, Saya Okay

“Takpa, saya okay.”

Inilah pernyataan paling tak okey dari seorang isteri. Maka, kita sebagai suami jangan anggap itu okay.

Ia tak pernah okay ya.

Berapa ramai para suami pandang ringan kata-kata itu. Kita rasa, hari ini terluka kecewa dan sedih, esok semua itu hilang begitu sahaja.

Nak pula ditambah dengan jawapan dari isteri yang kata dia okay. Makinlah segala salah terus luput dari ingatan.

Para suami yang Tok Abah hormati,

Pada saat dia kata dia okay, masa itulah kita kena semak perkara apa yang kita mungkin kecilkan hatinya. Apa yang dia tak puas hati atau marahkan kita.

Jika benar dan yakin kamu rasa tiada, buat sesuatu untuk memenangi hatinya. Buat perkara sweet yang buat dia rasa dihargai, disayangi dan diberi perhatian.

Contohnya masakkan untuk isteri ke, bawa dia bersiar-siar atau berikan dia sekuntum bunga.

Sesudah kamu buat semua itu, kamu pasti terkejut. Akan keluar pengakuan seperti:

“Sebenarnya saya ni ada sentap dengan abang. Abang ingat tak, abang buat hal semalam…”

Di situlah dia cerita segala-galanya yang terbuku.

Bila dia dah cerita tu, barulah patut kamu rasa lega. Sebab dia tak memendam lagi. Segala isi kekesalan sudah keluar dari luahannya tadi.

Ingat, jangan biar isteri kita memendam lebih dari 3 hari. Jika tidak, ia akan terkumpul bukan setakat sebulan dua je bahkan boleh sepanjang hidupnya.

Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,
‘Happy wife, happy life’.

Tuesday, June 20, 2023

Sedari Sebelum Terlambat

Berulangkali dia disakiti, dia masih boleh menahan dan bersabar.
Namun sampai sahaja tempatnya diganti, maka dia pilih berhenti.

Itulah pendirian seorang isteri.

Saat kamu ada orang lain, layanan isteri sudah jadi tak istimewa.

Mungkin saat itu dia belum tahu, tetapi nalurinya kuat.

Dia takkan semesra dahulu.
Dia takkan semanja dahulu.
Dia takkan sebaik dahulu.
Dia takkan beri perhatian macam dahulu.

Kadang, dia pun tak sedar layanannya itu berubah.

Tetapi lambat laun, dia sedari ada sesuatu yang tidak kena.

Kerana pada saat kamu telah beralih fokus pada orang lain. Dia hidu sesuatu.

Dan ketahuilah, pada saat itu, dia sudah menjadi "orang lain" yang kamu tidak kenal langsung.

Wahai para suami,

Sedari hakikat ini sebelum terlambat. Orang lain yang kamu baru sukai itu, belum mampu susah dan senang seperti isterimu sendiri. Baliklah pada realiti dan bertaubatlah sesegeranya.

Kerana pada saat kamu memilih untuk berlaku curang,
bukan sahaja isterimu hilang, tetapi redha Allah juga turut hilang.

Ingat itu.

Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,
Baikilah hubungan rumahtangga sebaiknya.

Sunday, June 18, 2023

10 Petua Hidup Bersemangat

Petua hidup dan bersemangat adalah dengan menyematkan 10 perkara ini dalam diri:

1. Setiap pagi adalah kesempatan baru untuk meraih impian hidup. Tetaplah dengan keyakinan untuk mencapai hal-hal besar. Namun mulakan dengan langkah kecil terlebih dahulu.

Biar kecil, asal bergerak. Jangan fikir besar namun tak gerak-gerak.

2. Hidup ini singkat, jangan sia-siakan setiap pagi. Jadikan setiap hari sebagai langkah menuju kehidupan yang lebih baik.

3. Pagi adalah waktu paling sesuai untuk melakarkan kehidupan yang sempurna sepanjang hari. Mula terus sekarang.

4. Jangan harap sesuatu yang besar itu capai dengan sekelip mata. Tetaplah konsisten dan bersemangat setiap hari, dan kamu akan melihat kemajuan yang luar biasa.

5. Kamu adalah nakhoda kehidupanmu sendiri.  Berlayarlah di lautan dunia ini dan terokailah selagi masih bernafas dalam diri.

6. Jangan biarkan kegagalan kelmarin menghalangi kejayaanmu hari ini. Gunakan setiap peluang sebagai batu loncatan untuk mencapai impianmu.

7. Saat kamu terasa penat, ingatlah mengapa kamu memulakan semua usaha ini. Jangan biarkan ia terkandas di tengah jalan. Jangan biarkan dirimu yang lalu kecewa dengan dirimu hari ini.

8. Hidup ini berharga, jadi jangan sia-siakan waktu. Manfaatkan pagi ini untuk melakukan tindakan yang akan mengubah hidupmu.

9. Keberanian tidak selalu bererti tidak takut, tetapi sebenarnya tetap berjuang meskipun dalam ketakutan.

10. Setiap langkah kecil menuju matlamat hidupmu. Jangan meremehkan kekuatan positif yang ada pada waktu pagimu. Bangkit biarpun perlahan usaha kamu.

Anak cucu dan semua sahabat Tok Abah yang luar biasa,

Semoga motivasi pagi ini dapat menginspirasikan kamu untuk memulai hari dengan semangat dan mencapai segala hal yang diinginkan!

Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,
Anjakan paradigma setiap hari.

Buat Wanita Yang Terseksa Hidup Dengan Seorang Lelaki

Saya pesan ini,

Untuk berjuta kali.

Khusus buat kalian wanita yang sunyi, sepi dan diuji.

Buat wanita yang terseksa hidup dengan seorang Lelaki.

1. Hiduplah bukan dengan pesan dan janji. Selagi kita hidup dengan 2 perkara ini, kita akan sakit setengah mati setiap hari. Hiduplah dengan bekal yang masih berbaki. Hiduplah demi anak-anak dan keluarga yang masih ada ini. Bukan hidup dengan acah-acah saya selalu disini, walau jauh tetap merindui, awak tiada rasa sunyi. Mohon meninggal dengan lelaki yang berjanji macam ni.

2. Biarpun tiada lagi lelaki disisi, fahamilah dalam hidup ini, Allah nak beritahu kita juga mampu sendiri. Asalkan Allah itu kita jadikan kekuatan setiap hari. Belajarlah dan bacalah kisah wanita zaman Rasulullah yang di uji, bagaimana mereka menguatkan hati. Cukuplah disakiti, jangan disakiti lagi perasaan dengan mengingati segala memori.

3. Seterdaya dan semampu, jika nak mengharap dan menunggu, biarlah ia bersama usaha dan doa yang berkali dan beribu. Usaha dengan membaikkan diri menjadi seindah isteri, dan berdoa agar hati lelaki itu di pulangkan kembali. Hamba itu, dia selalu berbaik sangka, dan berusaha untuk menjadikan apa yang disangka baik terjadi dengan izinnya.

4. Dalam waktu yang sakit ini, biarlah lelaki yang kita sayangi pergi. Biarlah dia mencari yang lebih baik lagi. Biarlah dia mencari hidup sendiri. Biarlah hidup kita yang kosong itu tidak terisi, tetapi ada Allah dan anak-anak yang menemani. Berilah ruang untuk kita dan dia memahami, apa erti cinta dan perkahwinan selama ini. Dia akan kembali, kerana tiada wanita sebaik isteri, iaitu diri anda sendiri.

5. Jangan cerita atau berkongsi soal hati dengan lelaki. Siapa pun lelaki itu, Ustaz ke,P.U ke, imam muda ke, atau Mufti kerana mereka semua lelaki. Lelaki yang selalu goyah saat di uji dengan wanita-wanita hari ini. Cerita dan kongsilah dengan rakan baik sebagai kekuatan, atau jika malu dengan keluarga dan sesiapa, Luahkanlah pada Allah yang Maha Mendengar setiap hari. Sekali lelaki mengetahui, kita akan di kejar setiap hari, konon mengubati tetapi hati itu akan diseksa lagi sampai setengah mati dengan tipu dan janji.

Saya cerita sebab saya Lelaki.

Lelaki realiti.

Lelaki yang diuji dan diuji berkali-kali dengan perkara yang paling diuji, iaitu WANITA YANG SUNYI.

Tolonglah jangan percayakan lelaki dalam hal hati, kecuali lelaki itu adalah suami anda sendiri.

Hati anda itu Milik Allah. Jika disakiti, pulangkan semula pada Allah kembali, bukan dikongsi dengan lelaki yang penuh dengan janji.

Maaf lelaki, kita perlu jadi baik, kerana dunia memerlukan lelaki yang baik hari ini.

Penulis asal: Abu Hurairah

Teruslah Meminta

Kita minta itu dan ini berterusan pada manusia, sampai masa manusia akan kehabisan sumber untuk memberi.

Tidak begitu pada Allah. Kerana Tuhan lah yang menjadikan sumber segala perkara.

Sebab itu Allah suka bila kita terus menerus meminta kepada Dia. Lagi banyak kita pinta, lagi Allah suka.

Malah makin kita minta, makin Allah sayang. Dan kita semakin dekat dengan Dia.

Maka teruslah meminta. Setiap waktu.

Begitulah.

— The Solusi

Thursday, June 15, 2023

Kita Layan Apa Yang Kita Ada

Yang boleh membuatkan kamu bahagia adalah dengan berhenti membandingkan hidup kamu dengan orang lain.

Dan belajar untuk mensyukuri apa yang kamu miliki.

Tak perlu nak berlumba.

Apa yang ada, itu syukurkan dulu. Baik pakaian, kereta, henfon, perabot, tv atau duit dalam bank. Takat yang kita mampu, itu lah dia.

Ada adik beradik kita pakai lebih daripada kita, itu rezeki dia. Kita tak payah nak kejar dan lawan beli yang lagi power pula. Apa yang jiran kita ada lebih, itu rezeki dia.

Kita layan apa yang kita ada.

— Firdaus Mokhtar

Belum sempat Merah, anak sudah cabut ghost pepper ni. hihi

Memaafkan Tidak Bermaksud Melupakan

Memaafkan tidak bermaksud melupakan. Memaafkan adalah satu kaedah ‘healing process’ untuk merawat hati yang tidak tenang.

Memaafkan manfaatnya untuk diri sendiri, bukan untuk diri orang yang menyakiti kita dulu. Orang yang menyakiti kita ibarat seperti ular yang mematuk kita dan dia tinggalkan bisa dalam badan kita.

Kita terus sakit dan terus sakit sebabnya bisa ular masih dalam badan. Ular dah lari jauh meninggalkan kita, dia dengan hidupnya, dia tak ambil pedulipun pasal kita.

Yang sakitnya, ular atau kita yang kena patuk? Pastinya kita yang sakit, bukan sekadar sakit, bahkan membahayakan diri jika tidak dirawat segera.

Bisa ular perlu dibuang segera, kalau tidak dibuang kita akan mati.

👉 Sama juga, marah, benci dan dendam ini adalah bisa dalam badan. Cara nak buang bisa adalah dengan ‘memaafkan’. Ya, bukan mudah memaafkan, tapi kita perlu ingat Allah itu Maha Pemaaf. Kalau kita nak Allah sayang kita, kita ikutlah sifat-sifatNya. Salah satunya sifat Pemaaf 😊

Hassan Adli

Jika Wanita Ini Yang Kau Pilih

Kalau kau memilih seorang wanita yang pernah kecewa dengan perkahwinan yang lalu sebagai isteri kau sekarang, ketahuilah bahawa kau wajib untuk menjaga hati dia lebih daripada biasa.

Mereka ini pernah merasakan hidup dalam kesedihan yang boleh membuatkan mereka mati hati dan perasaan. Iya, dicerai dan ditinggalkan sendiri dengan anak-anak. Tanpa pembelaan seorang lelaki yang sepatutnya berada di sebelah mereka selalu.

Menangis menanti habisnya tempoh iddah. Mengharap agar bekas suami datang untuk kembali bersatu. Hari demi hari tapi hampa. Suami tak muncul sampailah habis tempoh.

Merasakan diri langsung tak berguna setelah segalanya daripada diri diberikan sepenuhnya kepada suami.

Jika wanita ini yang kau pilih, kau kena jadi teman hidup yang cukup memahami hati seorang isteri. Mereka ini akan hidup dalam keadaan sangat berjaga-jaga, kerana mereka tak mahu peristiwa lama berulang lagi.

Kau ingat ini wahai lelaki, tidak ada isteri yang gembira mereka dilepaskan, sekali pun dalam rumahtangga itu isteri yang memberi segala benda. Dia sanggup buat itu semua demi rumahtangga dia.

Percayalah, cukup kau jadi suami yang sangat berlembut dalam setiap tutur kata dan setiap perbuatan.

Hati mereka sudah cukup tercalar dengan kehidupan yang dulu. Sekarang, kau dia pilih sebagai suami baru dengan satu kepercayaan.

Iya, percaya yang kau tak akan menjadi lelaki yang akan menghancurkan hati dia sekali lagi.

Begitulah.

Firdaus Mokhtar,

5 Cara Bahagia

Kita akan bahagia apabila kita memilih cara hidup begini.

1. Memilih untuk bersangka baik setiap perkara yang sedang berlaku dan akan datang.

2. Cara hidup dengan syariat dan taat, kerana rasa bahagia itu datangnya dari Allah.

3. Melepaskan yang bukan hak, dan menghargai mereka yang memilih terus berada disisi.

4. Memilih untuk terus belajar, upgrade dan ubah diri. Kita tidak mungkin bahagia jika penuh dengan wasangka buruk.

5. Pilih untuk faham setiap perkara yang diluar jangkaan atau yang melukakan, dan akhirnya memaafkan.

Bahagia itu perasaan dan ia datang dari Tuhan, jika mahu bahagia, pilihlah berdamai dengan segala ketentuan, terlalu keras dengan takdir, hati kita juga yang terluka.

Afifah Alwi

Kanak-Kanak riang

Isteri Perlukan Rehat

Isteri walaupun tak bekerja, dia perlukan rehat.

Isteri yang bekerja juga, dia juga perlukan rehat. Dan isteri, yang mana anak-anak dia ramai, lagilah perlukan rehat.

Belum sempat dia selesaikan satu-satu kerja, dia terpaksa berhenti kejap untuk beri tumpuan pada anak nombor satu. Belum sempat dia mulakan kerja nombor dua, anak yang kedua pula sudah menangis hentak-hentak kaki.

Tapi, dia cekal bersabar dalam melayan karenah anak-anak. Pada dia, itulah cabaran membesarkan anak-anak. Tak akan pernah sekali dia merungut dan menyerah kalah.

Itu belum lagi kedengaran,

“Ibu nak ini, ibu adik menangis, ibu tengok ni abang usik adik!”

Semua perkara tersebut akan dilaporkan kepada isteri. Dan ketika mana suami ke kerja, dia berhempas pulas membahagikan masa di rumah untuk melayan karenah anak-anak.

Kadang-kadang, sekuat mana dia cuba bertahan, ada juga masanya dia hilang sabar. Ada juga emosi dia menjadi tidak stabil. Ada masanya dia marah.

Dan ada juga masanya dia mengalami depresi dek kerana tidak dapat menanggung kesemua bebanan.

Malah, ia akan menjadi lebih parah bila,

“Awak boleh tak jaga bebudak tu. Terjerit sana, terjerit sini!” suara dari suami mengarahkan isteri untuk menjaga anak-anak sedangkan dia duduk di beranda menghisap rokok.

“Apa benda awak masak ni, rasa dia pelik” tegur suami tidak berlapik ketika menjamah masakan isteri.

Walhal, si isteri berusaha sebaik mungkin menyiapkan sarapan pagi sebelum suami pergi kerja. Sedaya upaya memastikan makan malam sudah terhidang ketika mana suami pulang ke rumah walaupun berperang dengan emosi untuk menjaga anak-anak sekali.

Ramai orang tak tahu, rahsia untuk menghilangkan segala penat isteri dari awal pagi bawa ke malam itu semudah dengan menghamburkan pujian sahaja. Dia tak minta lebih pun.

“Sedapnya awak masak” walaupun masa suami telan, berperang garam dalam mulut. Berperang gula dan nisbah air liur untuk memastikan makanan itu memasuki tekak.

Ya, sekadar dengan satu pujian saja, sudah mampu memadamkan segala jerih kepenatan isteri seharian.

Dan boleh saja bila ada masa free, suami meringankan beban isteri dengan membasuh pinggan dan periuk selepas isteri memasak.

Memandikan anak-anak ketika mana isteri mengemas. Membawa isteri berjalan-jalan dan membelikan sedikit barang yang dia inginkan.

Percayalah, sesebuah ikatan kekeluargaan itu akan menjadi lebih erat dan kukuh bila mana suami sentiasa menjadi orang pertama dalam menyokong setiap tindakan isteri.

Sebab itu, ada orang kata, nak tengok suami itu berjaya atau tidak, lihatlah bagaimana dia melayan isteri dan anak-anaknya.

Baik di situ, maka baiklah semuanya.

Syafiq Ridhwan

Pemandangan di Tanjung Lipat, Likas