Saturday, July 15, 2023

Tuhan Pasti Akan Sentiasa Menemani Kau

Jalan yang paling sukar bila kau kecewa adalah memilih untuk memeluk kekecewaan tersebut.

Memilih untuk memeluk bermakna dengan apa cara sekali pun, kau perlu mengharungi kekecewaan tersebut. Dan ini adalah satu cabaran yang paling sukar untuk kau jalani sepanjang kehidupan kau.

Sebab apa. Sebab benda ini adalah benda yang paling kau tak nak ia berlaku. Benda yang sangat-sangat kau tak nak ia terjadi. Dan kau tahu bila ia terjadi, kesakitan yang kau cuma agak-agak sebelum ini adalah benar. Kau lebih rela menjauhi daripada kau berhadapan dan hidup dalam kesakitan tersebut

“Tapi masa akan memulihkan bukan?”

Ya benar. Tapi bukan untuk semua keadaan. Dan sebenarnya, ia cuma menenangkan. Memberikan gambaran dalam pandangan kau yang kesengsaraan ini, lambat laun akan hilang.

Tapi ada kesakitan yang berapa lama masa berjalan sekalipun, ia sudah sebati dengan diri kau. Dan mungkin pada masa akan datang, bila kenangan menjentik, ia akan muncul seolah kau terluka seperti hari pertama.

Kadang-kadang, satu-satunya cara adalah dengan hidup bersama dengan kesakitan tersebut. Penyembuhan ini akan berjalan dari dalam. Tiada siapa pun dapat membantu kau secara total.

Dan paling penting, jangan marah diri sendiri. Jangan kecewa dengan diri sendiri seandainya proses penyembuhan itu tidak berjalan seperti mana kau harap.

Tak ada garis masa yang mengatakan selepas tempoh ini, kau akan sembuh setakat ini. Kita berurusan dengan diri kita sendiri dan mengikut jadual yang kita aturkan sendiri.

Masa tak akan menyembuhkan segala-galanya. Tapi masa akan mengajar kau untuk mencari jalan hidup dengan kehidupan yang baru walaupun kesakitan lampau itu mengikut ke mana saja kau pergi.

Perasaan itu kejap akan datang dan pergi. Biarkan ia membersihkan kau dan meninggalkan kau. Tiada apa dalam dunia ini yang kekal. Not even you.

Masa tak akan menyembuhkan.

Tapi, Tuhan pasti akan sentiasa menemani kau.

Membalut kelukaan kau dengan kasih dan rahmat Dia.

Syafiq Ridhwan

No comments:

Post a Comment